5 September 2024 - Sungai Petani, Kedah
Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah telah menyertai OPS Bersepadu SJR Pencegahan Jenayah yang dianjurkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Daerah Kuala Muda di Jalan Lencong Timur, Sungai Petani. Operasi yang dijalankan selama tiga jam itu telah melibatkan seramai 36 anggota yang terdiri daripada PDRM (IPD Kuala Muda), JAS Kedah, Bahagian Siasatan Penguatsaan Trafik (BSPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Operasi ini bertujuan menguatkuasakan pelbagai kesalahan lalu lintas, mengesan pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah dan kesalahan berkaitan pelepasan asap kenderaan. Bagi Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah dengan 19 kekuatan anggota yang terlibat di dalam OPS SJR ini merupakan salah satu usaha bagi menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Dari Enjin Diesel) 1996.
Kira-kira 640 buah kenderaan diperiksa dan 53 buah kenderaan diesel pelbagai jenis telah menjalani pemerhatian secara visual oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah. Daripada jumlah tersebut, 8 buah kenderaan telah dikeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta 8 tindakan kompaun dikenakan di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Dari Enjin Diesel) 1996 dan diarah menjalankan ujian semula ke atas kenderaan masing-masing selepas diambil tindakan pembetulan. Had maksimum pelepasan asap hitam yang dibenarkan adalah 50% kelegapan.
Kompaun maksimum bagi kesalahan di bawah peraturan yang dinyatakan di atas adalah sebanyak RM2000.
JAS Kedah sentiasa komited mengawal punca-punca pencemaran udara daripada pelbagai aktiviti seterusnya menjamin kualiti udara yang baik.
Menerusi pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 [Pindaan 2024), denda maksima yang boleh dikenakan bagi kesalahan mengikut Seksyen 22, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Pindaan 2024) berkaitan pencemaran udara adalah sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun.
Laporan boleh dilakukan di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke
[email protected] melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.