29 Ogos 2024, Gelang Patah, Johor - Pasukan Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor (Unit Buangan Terjadual) telah menjalankan pemeriksaan ke atas sepuluh (10) buah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas. Hasil pemeriksaan mendapati sembilan (9) buah kontena mengandungi buangan elektrik dan elektronik serta bateri terpakai yang dikategorikan sebagai buangan terjadual di dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Pengimportan atau transit buangan terjadual tanpa mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling adalah satu kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Semua kontena mengandungi buangan terjadual akan diarah untuk berpatah balik ke negara asal selaras dengan Konvensyen Basel.
Pihak industri adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya bagi memastikan tiada pencemaran alam sekitar yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
Orang ramai adalah digalakkan menyalurkan aduan berkaitan pencemaran alam sekitar talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke
[email protected] atau ke portal aduan https://eaduan.doe.gov.my.