Penerangan
30-31 Julai 2024, Gopeng - JAS Negeri Perak telah berjaya menganjurkan Kursus First Aid at Work Place JAS Zon Utara bertempat di pejabat JAS Cawangan Gopeng. Kursus ini telah dirasmikan oleh YBhg Dato' Ts. Dr. Hj. Mohammad Ezanni bin Mat Salleh, Pengarah JAS Negeri Perak.
Kursus selama dua hari penuh ini melibatkan teori, praktikal dan ujian yang dikendalikan oleh 5 orang jurulatih berpengalaman daripada St John Ambulans Malaysia, Perak. Kursus peringkat JAS Zon Utara ini adalah yang julung- julung kalinya diadakan. Peserta kursus adalah seramai 20 orang terdiri daripada 3 wakil dari JAS Kedah, 3 wakil dari JAS Pulau Pinang, 2 wakil JAS Cawangan Teluk Intan, 2 wakil JAS Cawangan Taiping, 2 wakil JAS Cawangan Gopeng dan 8 wakil dari JAS Ipoh. JAS Perlis bagaimanapun tidak dapat turut serta pada saat akhir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Kursus ini diadakan untuk meningkatkan kemahiran anggota JAS dalam menghadapi dan mengendalikan situasi kecemasan terutamanya ketika menjalankan tugas dilapangan. Antara kemahiran secara praktikal yang dipelajari adalah melakukan CPR termasuk menggunakan AED, mengawal luka dan pendarahan, kejadian patah tulang, pelbagai kaedah balutan, mengendali mangsa yang tercekik, meletakkan mangsa pada posisi recovery dan pelbagai lagi. Dalam kursus ini setiap peserta berpeluang untuk membuat semua kaedah di atas dengan cara yang betul dengan dipimpin dan dipantau oleh jurulatih. Aspek teori pula lebih meluas termasuk berkaitan sistem badan, sistem pernafasan dan peredaran darah serta pelbagai kaedah terkini dalam mengendalikan kejadian kecemasan.
Jabatan Alam Sekitar selaku agensi yang profesional sentiasa komited dalam melengkapkan anggotanya dengan pelbagai latihan berterusan termasuklah latihan seperti di atas yang merupakan salah satu keperluan di bawah kehendak Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP). Peserta yang hadir dan berjaya dalam ujian teori serta amali layak untuk diberikan sijil kompitensi daripada St John Ambulans Malaysia yang sah bagi tempoh 3 tahun. Selamat dan Sihat,
Tanggungjawab Bersama.
#NRES
#hariozonsedunia2024
#Beatplasticpollution
#jabatanalamsekitar
#jasperak_julai2024
#Harialamsekitarsedunia