Penerangan
YAN, 29 Jun 2024 - Program KAO Biodiversity yang dianjurkan oleh Syarikat KAO Penang dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Pertubuhan Nur Salam Wilayah Utara dan Komuniti Bot Pulau Songsong telah berjaya diadakan di Pulau Songsong, Yan Kedah yang melibatkan penanaman anak benih karang (nubin), pembersihan pantai dan penanaman anak pokok merambong.
Program dimeriahkan dengan kehadiran Puan Sharifah Zakiah binti Syed Sahab, Pengarah JAS Kedah yang merasmikan program tersebut. Turut hadir menjayakan program tersebut adalah Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah Tuan Pang Anak Nyukang dan Puan Fatin Afiqah binti Roslan mewakili Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.
Program yang disertai seramai 205 orang sukarelawan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat untuk memberikan kesedaran kepentingan menjaga alam sekitar kepada para peserta melalui aktiviti penanaman anak benih karang yang membolehkan populasi karang tersebut hidup dan membiak di kawasan berkenaan.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung ialah aktiviti kutip sampah di pesisir pantai dan penanaman pokok merambong di sekitar pulau berkenaan.
Program yang dijalankan bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia ini berjaya menanam 132 anak benih karang sebelum ditenggelamkan di kawasan tukun berdekatan. Sebanyak 50kg sampah berjaya dikutip oleh para peserta dan 50 anak pokok merambong ditanam di sekitar kawasan pulau berkenaan.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atas kejayaan program yang telah diadakan pada hari ini.