Penerangan
15 Julai 2024 - Pulau Langkawi, Kedah
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Negeri Kedah telah menjalankan Ops Bersepadu Unit Kenderaan Bermotor dengan kerjasama PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Operasi ini melibatkan seramai 9 orang pegawai penguatkuasa JAS turun ke lapangan bersama-sama anggota PDRM, JPJ, JIM dan AADK. Operasi ini memfokuskan kepada penguatkuasaan pelepasan asap hitam dari kenderaan diesel di bawah Peraturan 11(1), Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Dari Kenderaan Enjin Diesel) 1996 dan Peraturan 4, Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor), 1987.
Dalam operasi ini, JAS Negeri Kedah telah menjalankan sebanyak 32 ujian visual dari pelbagai kenderaan diesel. Sebanyak 8 buah kenderaan diesel dan 3 buah kenderaan motorsikal telah diuji dengan menggunakan meter asap dan meter bunyi bising.
Bagi tindakan penguatkuasaan, 6 kompaun dan 6 Notis Arahan juga telah dikeluarkan di bawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mana menghendaki kenderaan-kenderaan yang gagal untuk menjalani kerja-kerja pembaikan dan melakukan pemasangan ekzos asal serta hadir ujian semula di kemudahan PUSPAKOM dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah.