Penerangan
23 Julai 2024, Pengerang - Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor(JASNJ) telah mengadakan Program Pendidikan & Kesedaran Alam Sekitar Bagi Mencegah Pembakaran Terbuka Tanah Gambut Negeri Johor di SMK Pengerang Utama, Taman Bayu Damai, Pengerang, Johor.
Program ini telah dihadiri oleh wakil rasmi Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor; Puan Mazrita Binti Masnon, Pengetua SMK Pengerang Utama, Ketua Balai Bomba & Penyelamat Sungai Rengit, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pembangunan Bakat Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi dan GPK Pentadbiran SMK Pengerang Utama.
Program ini diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan tanah gambut dan langkah-langkah pencegahan kebakaran tanah gambut kepada pelajar-pelajar dan guru-guru sekolah.
Seramai lebih kurang 800 orang pelajar dan 22 orang guru telah menyertai program ini. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah ceramah tentang Kepentingan Penjagaan Tanah Gambut Daripada Aktiviti Pembakaran Terbuka, ceramah tentang Kaedah Pemadaman di Tanah Gambut, Demo/Latihan Pemadaman Kebakaran, pameran kesedaran alam sekitar, pendaftaran Rakan Alam Sekitar dan aktiviti Permainan Treasure Hunt Gambut.