Penerangan
11 Julai 2024, KUCHING – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak telah menjalankan Operasi Gerak Bersepadu (Ops Gerak) bersama Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kota Samarahan pada 10 Julai 2024. Operasi ini melibatkan seramai empat pegawai dari JAS Sarawak dan enam anggota dari BSPT Daerah Kota Samarahan yang tertumpu kepada penguatkuasaan pelepasan asap hitam dari kenderaan diesel di bawah Peraturan 11(1) Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Dari Kenderaan Enjin Diesel) 1996.
Dalam operasi ini, JAS Sarawak telah menjalankan sebanyak 50 ujian visual dari pelbagai kenderaan berenjin diesel. Sebanyak sepuluh kenderaan telah diuji dengan menggunakan meter asap dan daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak dua notis di bawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan yang mana memerlukan kenderaan-kenderaan ini menjalani kerja-kerja pembaikan dan perlu hadir semula di kemudahan PUSPAKOM berhampiran untuk ujian semula.