Penerangan
BINTULU, 22 Jun 2024 – Satu program penghijauan dan penanaman pokok dengan tema “Nourish Nature, Nurture Future 2024?? telah diadakan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bertempat di komuniti RPR Kidurong, Bintulu. Program ini juga telah mendapat kerjasama penuh daripada sektor industri iaitu PTT Sarawak Oil Limited (PTTEP Malaysia).
Program ini telah dirasmikan oleh Tuan Abang Zainuddin bin Haji Abang Turkey, Timbalan Residen Bahagian Bintulu. Objektif program diadakan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai perubahan iklim. Tambahnya juga penanaman semula pokok penting bagi memastikan pembangunan di kawasan Bintulu adalah seimbang dengan kawasan hijau dan alam sekitar. Pengisian program melibatkan aktiviti penanaman 500 anak pokok dari pelbagai spesies buah-buahan dengan menggunakan kaedah “Notch and High-Density“ iaitu amalan hortikultur yang sesuai dengan keadaan tanah di tapak penanaman.
Menariknya, seramai 120 orang peserta terdiri daripada komuniti setempat, wakil agensi kerajaan persekutuan dan negeri, kakitangan IPTA dan pekerja industri telah terlibat dan bersama-sama menjayakan program kesedaran alam sekitar kali ini.