Penerangan
TEMERLOH, 24 Mei 2024 - Dua (2) syarikat pemaju Projek Ladang Hutan didenda masing-masing RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Temerloh kerana gagal mematuhi syarat-syarat kelulusan Laporan “Environmental Impact Assessment?? (EIA).
Hakim menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah bagi dua syarikat tersebut mengaku bersalah atas dua (2) pertuduhan yang dikenakan.
Berdasarkan pertuduhan, Syarikat yang merupakan pemaju kepada Projek Ladang Hutan yang terletak di Hutan Simpan Lakum didapati tidak melaksanakan Audit Alam Sekeliling terhadap projek sepertimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 33A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Juru Audit yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa JAS Negeri Pahang, En. Yahya bin Abdullah.
Dalam pada itu, Pengarah JAS Pahang, Tuan Haji Wandi Yadzid bin Haji Yaakob dalam kenyataan di sini hari ini berkata, semua pemaju projek ladang hutan hendaklah memberi komitmen sepenuhnya untuk mematuhi semua syarat kelulusan yang dikenakan untuk patuh kepada kehendak Seksyen 34A(7), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.