07 Mei 2024, KANGAR - Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis telah melaksanakan Ops Gempur (Air Raya) Siri 1 pada 24-26 Mac 2024 dan Siri 2 pada 2-3 April 2024 yang lalu ke atas premis-premis yang beroperasi di Negeri Perlis. Operasi Gempur kali ini diberi nama Ops Air Raya menumpukan aspek pengurusan efluen perindustrian, kumbahan dan larut resapan yang dihasilkan oleh loji-loji rawatan kumbahan, loji rawatan air dan tapak pelupusan sampah dalam Negeri Perlis.
Ops Air Raya ini melibatkan 8 pasukan penguatkuasa dengan kekuatan anggota seramai 19 orang. Operasi kali ini diadakan secara bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi teknikal seperti Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Wilayah Utara dan SWCorp Negeri Perlis. Operasi bersepadu diadakan bagi memastikan operator loji rawatan air, loji pengolahan kumbahan dan tapak pelupusan sisa pepejal yang menghasilkan efluen perindustrian, kumbahan dan larut resapan sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya. Sebanyak empat (4) Notis Arahan telah dikeluarkan kepada pemilik premis agar mengambil tindakan pembaikan terhadap ketidakpatuhan yang dikesan semasa siasatan pemeriksaan dijalankan.
Jabatan Alam Sekitar amat komited dalam membenteras pencemaran alam sekitar dan amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh semua Jabatan dan agensi yang terlibat.
Dalam hal ini, JAS mengingatkan agar semua premis yang berkaitan melaksanakan tanggungjawab mematuhi perundangan yang ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan.
Orang awam adalah diminta untuk menyalurkan aduan berkaitan kes-kes pencemaran alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke
[email protected] atau ke portal aduan https://
[email protected].
#nres
#jabatanalamsekitar
#jasperlis
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasperlis_april2024