Penerangan
SUNGAI PETANI: Tindakan pantas sebuah kilang memproses sarung tangan getah di sini, menghalang tumpahan bahan mentah sekali gus dapat menghindarkan pencemaran alur air berhampiran premis berkenaan.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pihaknya menerima laporan daripada Orang Yang Berwibawa (OYB) kilang itu, memaklumkan berlaku limpahan getah asli cecair bercampur bahan kimia ke dalam longkang kilang berkenaan pada jam 9 pagi.
Katanya, tumpahan bahan mentah itu berpunca daripada kebocoran saluran bahan mentah ke kawasan proses.
Beliau berkata, premis yang menghasilkan produk sarung tangan getah itu dipercayai menjalankan kerja kawalan tumpahan dan pembersihan sebaik dikesan dengan pemantauan awal oleh OYB.
"OYB terbabit adalah kakitangan premis yang terlatih dan berdaftar dengan JAS.
"Susulan itu, JAS Kedah ke lokasi premis dan menjalankan pemantauan kerja pembersihan oleh pihak premis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, masalah itu diselesaikan sepenuhnya pada jam 2.16 petang dan pemeriksaan mendapati tiada pencemaran berlaku kepada alur air berhampiran.
Katanya, hasil kerja pembersihan disalurkan ke sistem pengolahan efluen premis terbabit dan sebahagiannya dilupuskan sebagai buangan terjadual ke premis yang dilesenkan oleh JAS.
Justeru, JAS memberi penekanan terhadap keperluan OYB yang perlu berperanan dalam pengurusan operasi kilang seperti dinyatakan mengikut Seksyen 49A(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"JAS Kedah berpuas hati dengan tindakan diambil OYB dan kakitangan premis yang melaporkan kejadian dengan segera, di samping mengambil tindakan mencegah pencemaran ke atas alam sekitar," katanya.