Penerangan
19 Mei 2024, Langkawi
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), UiTM Puncak Alam, YTL Cement Langkawi dan Persatuan Dasar Komuniti Langkawi (PEDATI) telah menganjurkan Program Kutip Sampah Sambil Beriadah (KUDAH) bertempat di kawasan persisiran Pantai Hujung Airport, Langkawi, Kedah. Program tersebut disertai seramai lebih kurang 100 orang Rakan Alam Sekitar (RAS) yang terdiri daripada para pensyarah dan pelajar-pelajar UiTM Puncak Alam, pihak NGO dan masyarakat setempat.
Objektif program utama tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya pencemaran plastik terhadap kesihatan manusia dan kepentingan untuk menjaga kebersihan pantai yang indah dalam usaha menyemai gaya hidup lestari. Di samping itu, sifat cinta dan sayang kepada alam sekitar dan turut dapat dipupuk selain dapat menerapkan nilai-nilai murni, serta menambah ilmu pengetahuan berkaitan kelestarian alam sekitar terutamanya dalam kalangan pelajar IPT dan masyarakat.
Semua pihak mempunyai tanggungjawab moral untuk melindungi alam sekitar serta menjaga kesihatan dan kesejahteraan generasi masa depan. Dengan meningkatkan kesedaran, menyokong perubahan, dan mengamalkan gaya hidup yang lestari, semua pihak boleh bekerjasama untuk memerangi krisis pencemaran plastik dan mencipta dunia yang lebih bersih dan sihat untuk semua??
Program tersebut juga turut mempromosikan program Rakan Alam Sekitar (RAS) sebagai salah satu inisiatif mengamalkan gaya hidup lestari serta membangunkan kesedaran dan menggerakkan anggota masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.
JAS Negeri Kedah juga mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai agensi, bidang kepakaran dan latarbelakang sosial dalam menganjurkan program kesedaran alam sekitar khususnya di Negeri Kedah.