Penerangan
10 Mei 2024, Kangar - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis telah berjaya menganjurkan Program Eco Fun Walk sempena Perasmian Sambutan Hari Bumi Tahun 2024 Peringkat Negeri Perlis bertempat di Taman Rekreasi Bukit Lagi, Perlis.
Program ini dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Jamal Affendy Bin Shahar, Pengarah JAS Perlis dan diserikan dengan kehadiran Pengarah Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari UniMAP, Prof. Madya Ts. Dr. Irnis Azura binti Zakarya.
Program ini dihadiri oleh 60 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah dan kakitangan serta pelajar-pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan turut melibatkan pegawai-pegawai dari Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan Angkatan Pertahanan Malaysia, Negeri Perlis.
Tema rasmi Hari Bumi pada tahun 2024 adalah “Planet vs. Plastics?? yang memfokuskan peranan orang awam dalam mengurangkan kesan pencemaran plastik yang semakin serius mutakhir ini selain daripada berkongsi informasi mengenai usaha antarabangsa ke arah pengurangan sebanyak 60% dalam pengeluaran semua jenis plastik menjelang tahun 2040.