Penerangan
8 MEI 2024, PONTIAN, JOHOR - Unit Penguatkuasaan Industri (JB Barat), JAS Negeri Johor telah menjalankan pemeriksaan di kawasan Ulu Choh bersama Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) susulan premis yang menjalankan aktiviti peleburan besi yang beroperasi tanpa lesen.
Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bagi dua (2) unit smelting pot, empat (4) unit alat pengeluaran ke atas satu (1) premis dibawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. MPPn juga telah menutup pintu masuk sehingga diberitahu kelak.
Aktiviti peleburan bukan besi adalah tertakluk kepada keperluan menyediakan dan mendapatkan kelulusan laporan EIA sebagaimana ditetapkan Jabatan berdasarkan Perintah Kualiti Alam Sekeliling Aktiviti Yang Ditetapkan EIA 2015.
Pihak industri adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan sebarang pencemaran alam sekitar tidak berlaku yang boleh menjejaskan kesihatan awam.