Penerangan
TINGKATKAN PEMANTAUAN PUNCA PENCEMARAN DAN CEGAH PEMBAKARAN TERBUKA PADA CUACA PANAS DAN KERING DI NEGERI TERENGGANU
KUALA TERENGGANU, 26 April 2024- Pasukan Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu telah menjalankan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) dan memantau punca pencemaran di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di negeri ini.
Rondaan OMPT dan pemantauan premis yang dijalankan pada hari ini terarah kepada lokasi kebakaran hutan belukar bertanah gambut di daerah Dungun dan dua (2) lokasi hotspot yang dikesan oleh Satelit NOAA20 di Kg. Caluk, di daerah Setiu dan Kuala Terengganu.
Siasatan lokasi kebakaran hutan belukar bertanah gambut di Kg. Pengkalan Jering, Mukim Che Lijah, Dungun pada 26 April 2024 mendapati pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Dungun dengan kekuatan anggota seramai 41 orang dan dibantu oleh 8 orang anggota dari Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Dungun telah memulakan operasi pemadaman bermula jam 9.30 pagi.
Menurut Jurucakap Bomba di Pusat Kawalan Bomba (PKB), pihak Bomba menganggarkan luas keseluruhan kawasan yang terjejas adalah 20 hektar dan sehingga ke hari ini kebakaran telah berjaya dipadamkan sebanyak 13 hektar. Operasi pemadaman akan diteruskan bagi memadamkan sepenuhnya baki 7 hektar lagi yang masih berasap. Ketika siasatan dijalankan keadaan cuaca adalah cerah dan berangin.
Operasi pemadaman yang dilakukan oleh pihak Bomba bermula pada 23 April 2024 dan Pos Kawalan Bomba (PKB) telah ditempatkan dilokasi kejadian adalah pada 24 April 2024.
Operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di Kg. Paya Pengkalan Jering ini dilakukan dengan menggunakan sumber air dari Telaga Tiub (Tiub Well) yang dibina pada 31 Julai 2017 oleh pihak Jabatan semasa Projek Pembinaan Infrastruktur Bagi Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut Yang Sering Terbakar Negeri Terengganu.
Beberapa banner larangan melakukan pembakaran terbuka turut dipasang di sekitar kawasan yang terjejas sebagai peringatan dan juga amaran kepada orang awam yang masuk ke lokasi kawasan tersebut supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dengan sewenang-wenangnya.
Siasatan lokasi hotspot di Kg. Chalok, Setiu mendapati lokasi hotspot tiada jalan masuk. Jarak terhampir yang dapat dimasuki adalah 1.7 km. Kawasan sekitarnya adalah merupakan kawasan belukar. Siasatan yang dilakukan dalam 2 km jejari kawasan ini tidak menemui sebarang pembakaran terbuka berlaku.
Siasatan lokasi hotspot yang dilakukan di Batu Rakit, Kuala Terengganu mendapati hotspot tidak berasas. Tiada pembakaran terbuka dikesan pada lokasi ini. Siasatan yang dilakukan dalam 2 km jejari tidak menemui sebarang pembakaran terbuka berlaku. Lokasi/kawasan sekitarnya merupakan kawasan ladang kelapa sawit. Lokasi hotspot yang dikesan berkemungkinan dari kebakaran belukar yang sedang berlaku di Lembah Bidong, Setiu.
Kawasan Perindustrian Chendering, Kawasan Perindustrian Ajil dan Tapak Pelupusan Sampah turut dipantau pada hari ini. Pemerhatian mendapati tiada sebarang aktiviti abnormal dikesan di sekitar kawasan tersebut.
#NRES
#jabatanalamsekitar
#jasterengganu
#alamsekitartanggungjawabbersama