Penerangan
23 April 2024, Sungai Petani - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah telah menjayakan program 'Progress Towards #MZP' yang telah dianjurkan oleh Petroliam National Berhad (PETRONAS) dan telah diadakan di Park Anevue Hotel, Sungai Petani, Kedah. Program ini merupakan sesi taklimat bersama aset-aset Petronas di Negeri Kedah dan menjadi salah satu medium bagi perkongsian maklumat terutamanya di dalam pengurusan kepada alam sekitar.
Program ini telah dihadiri oleh wakil JAS Kedah iaitu En. Mohd Fitri bin Mohd Mokhtar selaku Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Operasi JAS Kedah, Puan Noor Suhailah binti Othman selaku Pegawai Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (GHSE/PETH) PETRONAS, pegawai-pegawai JAS Kedah dan melibatkan wakil-wakil daripada aset-aset PETRONAS di Negeri Kedah.
JAS Kedah telah membuat perkongsian dengan pihak PETRONAS berkaitan Hala Tuju Penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan keperluan-keperluan terkini Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah bagi industri Petroleum, Petrokimia dan Gas yang telah disampaikan oleh En. Nur Mizhuari bin Abdul Samat serta sesi taklimat berkaitan aplikasi sistem eSWIS yang disampaikan oleh Cik Salmiwaty Binti Kong Ya.
Diharapkan sesi taklimat ini digunakan sebagai platform untuk mendapatkan perkembangan terkini berkaitan pengurusan alam sekitar serta hala tuju penguatkasaan oleh JAS kepada aset-aset PETRONAS di Negeri Kedah dan perkongsian ini boleh dijadikan sebagai rujukan dalam memastikan pematuhan yang berterusan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.