PERPUSTAKAAN ENVIRO DIGITAL Jabatan Alam Sekitar Malaysia
Koleksi Gambar / Aktiviti & Bengkel>Program Kesedaran JAS|Aktiviti & Bengkel>Program Penguatkuasaan

LAWATAN TAPAK OLEH YB TEH KOK LIM BAGI MASALAH AKTIVITI PEMBAKARAN TERBUKA

DOE Perak 28/04/2024 0 paparan

Paparan Keseluruhan

Tajuk
LAWATAN TAPAK OLEH YB TEH KOK LIM BAGI MASALAH AKTIVITI PEMBAKARAN TERBUKA
Tahun
2024
Tarikh Keluaran
28/04/2024
Organisasi
DOE Perak
Lokasi
Perak

Penerangan

Perak, 25 Mac 2024 – YB Tuan Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Perak hari ini telah turun padang meninjau ke kawasan berisiko terbakar di sekitar Gopeng, Perak bagi melihat kaedah pemantauan dan tindakan dalam menangani serta mencegah kebakaran di kawasan berisiko serta mudah terbakar (fire prone).   YB EXCO secara lebih dekat telah melihat gerak kerja dan tindakan yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak bagi menjalankan pemantauan operasi mencegah pembakaran terbuka melalui rondaan menggunakan kenderaan dan pemantauan melalui udara menggunakan dron untuk menangani masalah aktiviti pembakaran terbuka di sekitar kawasan Gopeng.   Sejajar dengan pemakluman pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PKPTK) pada 16 Februari 2024 oleh Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam (NRES), YB EXCO telah diberikan penerangan berhubung proses yang dilaksanakan bagi meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah haram. PTPTK di Negeri Perak juga telah diaktifkan bagi melibatkan pelbagai agensi yang berkaitan dalam pemantauan, pencegahan dan pemadaman pembakaran terbuka di Negeri Perak.   PERSEDIAAN MENGHADAPI CUACA PANAS DAN KERING   Berdasarkan pemantauan terkini oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun sekitar bulan Februari hingga Mei. Pemantauan terkini di negeri Perak pada jam 4.40 petang 24 Mac 2024, suhu maksimum harian tertinggi adalah di kawasan Hulu Perak iaitu berada di tahap 2 (gelombang haba) melebihi 37°C hingga 40°C sekurang-kurangnya 3 hari berturut-turut. Susulan fonomena El Nino dengan intensiti kuat yang melanda dunia, dijangkakan suhu maksimum harian negara boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan kawasan.   Dalam tempoh cuaca kering ini, adalah dikhuatiri kejadian pembakaran terbuka akan berlaku peningkatan terutamanya di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah. Jabatan Alam Sekitar telah bersiap siaga mengambil beberapa langkah terutamanya untuk menangani isu pembakaran terbuka yang merupakan antara punca yang menyebabkan kemerosotan kualiti udara, keadaan jerebu setempat dan menjejaskan kesihatan awam. Bagi menangani kejadian kebakaran yang berlaku Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak telah mengambil langkah-langkah persediaan seperti berikut:  
  1. Telah meningkatkan pemantauan dan rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka melalui darat dan menggunakan dron;
  2. Mengambil tindakan tegas bagi kawasan kebakaran yang telah berlaku dan mengenalpasti pemilik tanah kawasan kebakaran yang terlibat untuk tindakan perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974;
  3. Bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengawal kes-kes kebakaran yang berlaku;
  4. Sentiasa memantau bacaan dan tren IPU stesen pengawasan udara dari semasa ke semasa untuk tindakan selanjutnya; dan
  5. JAS turut giat mengadakan program kempen kesedaran awam terutama kepada orang awam dan juga penduduk kampung agar tidak melakukan pembakaran terutama ketika cuaca panas dan kering melalui program-program komuniti dan tidak ketinggalan juga melalui media sosial dan media
  NASIHAT KEPADA ORANG RAMAI  Semua pihak terus diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.   Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah. Di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan. Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran- kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727. Sebarang kes kebakaran yang berlaku di kawasan perumahan hendaklah dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan masing-masing.                                    

Gambar / Video Penuh

← Kembali ke Penemuan