Penerangan
KUANTAN, 4 April 2024 - Operasi 'OPS Gempur Raya 2024' telah dijalankan oleh pasukan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang, JAS Cawangan, Gebeng, Temerloh, Cameron Highlands dan Rompin ke atas premis-premis yang telah dikenalpasti di seluruh negeri Pahang bagi memastikan pematuhan berterusan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Dengan kekuatan sebanyak 10 pasukan yang terdiri daripada 26 anggota penguatkuasa, JAS Negeri Pahang telah memeriksa 44 buah premis merangkumi kilang kelapa sawit mentah, premis yang melepaskan efluen perindustrian, loji rawatan air, loji rawatan kumbahan dan premis yang menghasilkan buangan terjadual.
Hasil pemeriksaan tersebut, Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang telah membuka tiga (3) kertas siasatan bagi izin kompaun, lima (5) Notis Arahan dan 44 arahan lapangan telah dikeluarkan kepada premis-premis yang berkaitan.
JAS Negeri Pahang akan terus komited dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk pada musim-musim perayaan.
Pihak industri diingatkan agar sentiasa mematuhi sepenuhnya kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan berlakunya pencemaran kepada alam sekeliling.