Penerangan
JOHOR BAHRU, 26 Mac 2024 – Di pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor, Dr. Mohd Famey bin Yusoff telah mempengerusikan satu Mesyuarat Environmental Impact Assessment Technical Review Committee (EIATRC) bertujuan membincangkan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA) bagi satu cadangan aktiviti pulih guna bateri litium ion di Segamat, Johor.
Mesyuarat turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan 1 JAS Johor, En Badlishah bin Ahmad, pegawai-pegawai dari Unit Penilaian EIA JAS Johor dan pegawai dari Unit Buangan Terjadual JAS Johor. Ahli-ahli EIATRC yang turut menghadiri mesyuarat ini adalah wakil Majlis Perbandaran Segamat, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Johor (PLANMalaysia@Johor), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) dan Ranhill SAJ Sdn Bhd.
Mesyuarat ini dibentangkan oleh pihak perunding dan penggerak projek berkenaan proses cadangan projek, keadaan semasa tapak cadangan, perancangan projek, langkah-langkah kawalan yang akan dibina, pencemaran-pencemaran yang mungkin akan berlaku akibat daripada aktiviti cadangan projek, isu-isu dan maklumat-maklumat berkaitan.
Untuk memastikan Laporan EIA Jadual Pertama ini disediakan mengikut Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, ulasan-ulasan dari agensi teknikal telah diambil maklum oleh JAS Johor untuk tindakan selanjutnya.