Penerangan
PASIR GUDANG, 17 Mac 2024 - Sebuah kilang yang menjalankan aktiviti memproses plastik monomer telah diarahkan memberhentikan operasi serta-merta dalam sebuah operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor Cawangan Pasir Gudang bersama-sama dengan Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Kilang yang beroperasi tanpa lesen perniagaan tersebut telah menyebabkan gangguan bau busuk susulan aduan yang diterima dari Yang Berhormat Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor. Premis juga telah melepaskan air buangan ke longkang awam.
Pensampelan efluen telah dijalankan bagi tindakan penguatkuasaan selanjutnya.Tindakan serta-merta diambil dengan mengenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya pihak kilang menghentikan aktiviti yang menyebabkan pencemaran dan gangguan kepada persekitaran. Manakala, pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang telah mengenakan perintah penutupan premis.