Penerangan
19 Mac 2024 AYER KEROH, MELAKA – Pada 5 Mac 2024 yang lepas, pegawai-pegawai dari Bahagian Penilaian Jabatan Alam Sekitar Ibu Pejabat telah menjalankan lawatan tapak bagi projek EIA yang dijalankan dibawah Jadual Kedua Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015. Turut hadir adalah pegawai-pegawai dari Unit Proses EIA Jabatan Alam Sekitar Negeri Melaka. Tajuk EIA tersebut adalah ‘Cadangan Penambakan Laut seluas 679.188 Ekar di atas tanah Kerajaan , Kawasan Bandar XLV , Daerah Melaka Tengah untuk Tetuan Leaptec Engineering Sdn. Bhd .’
Lawatan tapak ke tapak cadangan EIA merupakan salah satu langkah dalam memproses dan menilai laporan EIA yang diterima. Tujuan utama lawatan adalah bagi pegawai Jabatan Alam Sekitar melihat sendiri lokasi tapak dan keadaan semasa di sekitar seperti dinyatakan didalam laporan EIA. Dalam kesempatan yang sama, sesi soal jawab dapat diadakan untuk mengumpul maklumat tambahan bagi memastikan penilaian EIA tersebut dapat dijalankan secara berkesan dengan adanya pihak perunding, pemaju, agensi Kerajaan lain dan ada kalanya orang awam yang ditemui di sekitar tapak.
EIA merupakan mekanisme penting dalam membantu pihak Kerajaan dalam menilai impak sesuatu projek kepada alam sekeliling dan memastikan langkah mitigasi yang dicadangkan oleh pemaju projek adalah memadai bagi meminimakan impak. Jabatan Alam Sekitar Negeri Melaka komited dalam memastikan pematuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 supaya kelestrian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
#KementerianSumberAsliDanKelestarianAlam
#JabatanAlamSekitar
#jasnegerimelaka
#AlamSekitarTanggungjawabBersama