Penerangan
6 Februari 2024 - Sungai Petani, Kedah
Susulan aduan orang awam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah telah menjalankan pemeriksaan ke atas tapak premis yang merupakan sebuah kilang yang ditinggalkan dan terletak di Kawasan Perusahaan Ringan Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah.
Hasil pemeriksaan mendapati tapak tersebut dijadikan tapak pelupusan sisa plastik yang merupakan penebat wayar dan dipercayai dilupuskan secara haram oleh premis yang menjalankan aktiviti peleraian logam berharga (tembaga atau aluminium) dari wayar elektrik).
Keluasan longgokan sisa plastik tersebut adalah 7,200 kaki persegi dengan ketinggian longgokan sisa hampir mencecah 26 kaki.
Maklumat ini akan turut dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan bagi siasatan lanjut dan untuk tujuan pembersihan sisa pepejal yang ditinggalkan Sekiranya tidak dibersihkan dengan segera, tapak berpotensi akan menjadi tapak pelupusan haram buangan lain termasuk buangan terjadual. Keadaan akan menjadi lebih kritikal
sekiranya berlaku pembakaran terbuka yang akan menyebabkan pencemaran udara kepada kawasan sekitar dan risiko kesihatan kepada orang awam.
Jabatan Alam Sekitar mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan menyeru orang ramai untuk bekerjasama untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727 dan http://eaduan.doe.gov.my