Penerangan
Unit EIA Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah telah mengadakan lawatan ke tapak cadangan projek EIA bagi pembangunan yang melibatkan aktiviti pemerolehan semula buangan terjadual di daerah Kulim, Kedah.
Lawatan ini dihadiri oleh pihak pemaju projek dan jururunding serta wakil-wakil daripada pihak agensi teknikal seperti Jabatan Alam Sekitar Cawangan Kulim, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah dan Pejabat Daerah dan Tanah Kulim.
Lawatan tapak dilaksanakan untuk memeriksa ketepatan maklumat yang dilaporkan dalam Laporan EIA serta menilai kesesuaian cadangan kawalan mitigasi dengan keperluan tapak projek. Ini adalah untuk memastikan bahawa cadangan kawalan mitigasi yang dicadangkan mencukupi dan sesuai dengan konteks persekitaran tapak cadangan.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah berpegang teguh pada komitmen untuk memastikan setiap pembangunan dilaksanakan dengan mengambil kira kesan terhadap alam sekitar. Melalui kerjasama dengan semua agensi-agensi teknikal, impak negatif semasa pelaksanaan projek dapat dikenalpasti dan cadangan kawalan dapat dicadangkan untuk dilaksanakan di tapak projek. Ini merupakan satu langkah proaktif dalam memastikan pembangunan berteraskan alam sekitar yang mampan dan bertanggungjawab untuk mencapai keseimbangan yang baik antara pembangunan ekonomi dan pelestarian alam sekitar bagi kebaikan generasi masa depan.