Penerangan
12 Mac 2024 - Daerah Pendang, Sik, Yan, Kota Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah sedang giat dalam usaha menjalankan rondaan dan pemantauan alam sekitar di semua kawasan di Negeri Kedah semasa musim panas dan kering.
Pemantauan dan rondaan ini bertujuan untuk mengesan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran kepada alam sekitar dan risiko kesihatan kepada orang awam termasuk pembakaran terbuka, pelupusan haram buangan terjadual, pelepasan efluen dan pelepasan bendasing ke udara oleh premis-premis yang tidak mematuhi had yang ditetapkan oleh JAS.
Rondaan yang dijalankan bagi mengelakkan kejadian pencemaran seperti pelupusan haram bertumpu kepada kawasan industri di daerah Pendang, Sik dan Yan. Pemantauan di kawasan hotspot yang berpotensi berpotensi berlaku pelupusan haram dan premis-premis yang disita juga telah dijalankan. Rondaan mencegah pembakaran terbuka juga dibuat di kawasan projek-projek pembinaan sekitar Daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap.
Hasil rondaan dan pemantauan setakat ini tiada menemui kes-kes pembakaran terbuka, kes pencemaran serta aktiviti pelupusan haram buangan terjadual yang mencurigakan atau disyaki melibatkan kawasan-kawasan berkemungkinan berlakunya aktiviti tersebut.
Banner larangan pembakaran terbuka telah dipasang di lokasi yang berpotensi berlakunya kejadian tersebut dilakukan. Ianya sebagai peringatan tentang kesalahan tersebut sekiranya diteruskan.
Orang ramai diminta untuk tidak melakukan aktiviti pencerobohan tanah dan melakukan pembakaran terbuka. Kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000.00 atau tindakan mahkamah dengan hukuman tidak melebihi RM500,000.00 (lima ratus ribu ringgit) atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya. Tuan-tuan tanah dan premis juga diminta untuk memantau tanah serta premis masing-masing supaya tidak dijadikan tempat pengumpulan, pemprosesan serta pelupusan apa-apa sisa buangan terjadual. Kesalahan dibawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 ini boleh dikenakan hukuman maksima RM 500,000.00 (lima ratus ribu ringgit), MANDATORI penjara maksima 5 tahun serta kompaun RM2000 bagi tiap kesalahan.
Jabatan Alam Sekitar menyeru kepada orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat dan bekerjasama untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 dan http://eaduan.doe.gov.my.