Penerangan
Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dengan sukacitanya telah menerima kunjungan delegasi Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah yang diketuai oleh Puan Sharifah Zakiah binti Syed Sahab, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah.
Bagi tahun 2024, Negeri Kedah telah dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024. Kunjungan ini adalah untuk memberikan taklimat dan berbincang mengenai pelaksanaan HASN 2024 tersebut.
Perbincangan merangkumi pelbagai aspek termasuk lokasi, aktiviti yang dirancang, dan kos yang terlibat. Sambutan HASN 2024 dijangka akan menjadi lebih meriah dan bermakna kerana ia disambut bersama dengan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan Jabatan Alam Sekitar. Sambutan ini dijangka akan berlangsung pada 19 - 21 Oktober dengan perasmian dijangka akan diadakan di Langkawi sempena memperingati Deklarasi Langkawi.
Pelbagai program bertemakan pemuliharaan alam sekitar akan diadakan bersempena sambutan HASN 2024 ini.
Komitmen dan kerjasama yang erat antara Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah dan Kerajaan Negeri Kedah diharapkan dapat menjadikan Sambutan HASN 2024 sebagai satu acara yang berjaya dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat dan negara pada keseluruhannya.