Penerangan
FEBRUARI 2024, KEPONG: Pegawai Penguatkuasa JAS WPKL telah menjalankan pemeriksaan ke atas satu loji rawatan kumbahan kendalian syarikat Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. di Kawasan Parlimen Kepong, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pemeriksaan telah dibuat pada 21 Februari yang lalu ini susulan daripada aduan ikan mati yang diterima oleh JAS WPKL di sungai berhampiran loji tersebut.
Semasa pemeriksaan, terdapat pelepasan buangan kumbahan yang keluar daripada takat pembuangan terakhir loji yang akan memasuki Lembangan Sungai Klang. Persampelan rasmi buangan kumbahan tersebut telah dijalankan oleh Pegawai Penguatkuasa JASWPKL dan sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa.
Kesemua pemeriksaan yang dijalankan ke atas loji ini adalah mengikut keperluan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Sebarang ketidakpatuhan kepada Peraturan ini boleh dikenakan tawaran kompaun sebanyak RM2000.00 atau denda mahkamah maksimum RM100,000.00 atau hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali. JAS WPKL sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.