Penerangan
Satu program penanaman bakau dan kutipan sampah telah diadakan di Pulau Tuba, Langkawi anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah.
Program ini dimulakan dengan perasmian program oleh Encik Mohd Nazri bin Ramli, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) JAS Kedah, taklimat pengurusan e-waste oleh Encik Adam bin Sulaiman dari Syarikat Key Master Enterprise dan taklimat program oleh Encik Mohd Rosli bin Mohd Nor, Ketua Cawangan JAS Langkawi.
Program ini turut melibatkan seramai 150 pelajar dari Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), Pusat Pengajian Citra Universiti (PPCU), Persatuan Mahasiswa Citra UKM (PESISTRA) dan Pertubuhan Komuniti Anak Tempatan Pulau Tuba (PEKAT).
Sebanyak 300 anak pokok bakau dari spesies Bakau Minyak (Rhizopora Mucronata) telah ditanam sepanjang Pantai Pulau Tuba dan 166kg sisa dosmetik telah berjaya dikumpul dimana kebanyakannya adalah botol plastik dan polisterin bekas makanan yang dibawa oleh arus dan berkumpul di kawasan pantai.
Adalah diharapkan program seumpama ini dapat memberikan kesedaran bahawa pentingnya kepentingan bakau dan pengurusan sampah yang teratur. Semoga alam sekitar kita terus terpelihara.
Tahniah dan terima kasih kepada semua peserta yang terlibat.