Penerangan
SYARIKAT LOJI PULIH GUNA BUANGAN TERJADUAL BEROPERASI TANPA KELULUSAN EIA DIDENDA RM 25,000.00
TERENGGANU, 28 Februari 2024 - Mahkamah Sesyen Kemaman telah menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM 25,000 ke atas sebuah syarikat kemudahan loji pulih guna (luar tapak) buangan terjadual tanpa kelulusan laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA) daripada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, pada 26 Februari lalu.
Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut telah menjalankan menjalankan Aktiviti 14(a)(i), Jadual Pertama, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 iaitu pembinaan loji pulih guna (luar tapak) tanpa terlebih dahulu mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling atau Environmental Impact Assessment (EIA) dan mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.
Hakim, Puan Wan Suhaila Mohd membuat keputusan itu selepas wakil pihak kilang berkenaan mengaku salah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan.
Sejurus pengakuan bersalah direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda di bawah Seksyen Seksyen 34A (8), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, bagi pertuduhan tersebut dengan denda berjumlah RM 25,000.00.
Pemilik syarikat ini juga berdepan dengan hukuman penjara bagi kesalahan tersebut sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
#NRES
#jabatanalamsekitar
#jasterengganu
#alamsekitartanggungjawabbersama