Penerangan
Kuala Lumpur, 7 Februari 2024 – Pasukan Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL) telah mengadakan pemeriksaan ke atas pemegang lesen kenderaan ‘pembawa yang ditetapkan’ sepertimana yang tertakluk di bawah Seksyen 18 , Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Pemeriksaan tersebut telah dijalankan pada 6 Februari 2024, jam 10 pagi hingga lebih kurang 1 tengahari bertempat di PUSPAKOM Cawangan Wangsa Maju, WP Kuala Lumpur yang melibatkan 8 buah lori daripada 5 buah syarikat yang telah dilesenkan sebagai Premis Yang Ditetapkan di WP Kuala Lumpur. Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut juga adalah susulan daripada permohonan pembaharuan lesen sebagai ‘pembawa yang ditetapkan’ yang telah diterima oleh JAS WPKL sepertimana yang tertakluk di bawah Seksyen 13, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Pasukan penguatkuasa JASWPKL juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan – kenderaan tersebut di bawah Seksyen 22, Akta Kualiti Alam Sekeliling dan Peraturan – Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.
Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan dan pelanggaran peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Peruntukan denda maksimum bagi kesalahan di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 adalah tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya, manakala denda tidak lebih daripada satu ratus ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan di bawah Seksyen 22, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.