05 FEBRUARI 2024- KEPALA BATAS : Pegawai-pegawai penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang komited dalam menjalankan tugas Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) serta rondaan pemantauan bagi pencegahan pencemaran di Daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
Pemantauan dilakukan pada setiap hari termasuk hujung minggu (Sabtu dan Ahad) bagi memastikan tiada sebarang aktiviti pembakaran terbuka skala kecil mahupun skala besar disamping memastikan premis sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya sepanjang masa. Keutamaan pemantauan adalah terhadap kawasan-kawasan yang kerap diadu serta di Kawasan Perindustrian yang berkepadatan tinggi.
Pada masa kini, daerah Seberang Perai Utara menunjukkan bilangan hari tanpa hujan yang direkodkan di stesen sehingga 5 Februari 2024 adalah selama 10 hari berturut-turut.
Orang awam amnya dan seluruh penduduk Pulau Pinang khususnya boleh membantu mencegah pembakaran terbuka dengan melakukan perkara-perkara berikut :
i. Melakukan pengasingan sampah sarap di rumah. Sampah sarap organik seperti sisa makanan, sayur-sayuran, buah-buahan boleh dijadikan Baja Organik.
ii. Pastikan baraan api rokok dipadamkan sepenuhnya sebelum membuang puntung rokok.
iii. Sisa-sisa pertanian, cantasan pokok, ranting- ranting di kawasan laman perumahan, ladang dan kebun dikompos sebagai baja.
iv. Sisa-sisa kayu di tapak pembinaan dijual atau diguna semula
v. Amalkan kitar semula
vi. Laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada berlakunya pembakaran terbuka di tanah persendirian, tanah-tanah rizab dan tanah milik kerajaan.
Pemilik tanah adalah dinasihatkan agar menjalankan pemantauan di tanah pemilikan persendirian agar tanah tidak digunakan sebagai lokasi pembuangan sampah haram yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka.
Program penguatkuasaan dan pemantauan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan jenayah alam sekitar dan tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Orang ramai boleh membuat sebarang aduan berkaitan kes-kes pencemaran alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke
[email protected] atau ke portal aduan https://
[email protected]