Penerangan
KANGAR - Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berjaya menganjurkan Program Pengumpulan Buangan Elektrik & Elektronik (e-waste) di Kampus Jejawi dan Kampus Pauh, Universiti Malaysia Perlis, Perlis.
Program ini yang dihadiri oleh warga kampus UniMAP turut dijayakan dengan kerjasama Syarikat Key Master Enterprise, sebuah syarikat pemerolehan kembali separa buangan terjadual (e-waste) yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar Perlis.
Kempen ini dianjurkan dengan tujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran kepada orang ramai khususnya warga kampus tentang keperluan menguruskan buangan elektrik dan elektronik dengan betul dan mengikut perundangan yang telah ditetapkan selain dapat memupuk dan meningkatkan keprihatinan dan tanggungjawab orang awam dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.
JAS Perlis sentiasa mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak seperti warga UniMAP dalam usaha melestarikan alam sekitar terutamanya di negeri Perlis ini. Semoga sokongan dan kerjasama ini terus berkekalan demi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
"E-waste Dikitar, Bumi Terpelihara"
#nres
#jabatanalamsekitar
#jasperlis
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasperlis_februari2024
#keymasterenterprise
#unimap