Penerangan
PROGRAM PENGURUSAN E-WASTE YANG MESRA ALAM DAPAT SAMBUTAN
Kuala Terengganu, 27 Januari 2024, Tuan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, YBrs. Tuan Haji Lukema Meri bin Salleh @ Abdul Latif bersama pegawai daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, syarikat KT Wan Recycle dan kakitangan Majlis Daerah Marang telah menjayakan program pengumpulan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di Taman Safian Murni Batu 10 Kg Padang Mengkuang Bukit Payong Marang.
Program yang bermula pada jam 9 pagi hingga 1.00 tengahari telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang awam yang berada di sekitar daerah berkenaan.
Tuan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang yang hadir pada program ini, menyatakan rasa teruja dengan sambutan yang diberikan dan menyatakan komitmen untuk meneruskan program ini secara berterusan sebagai usaha memdidik dan memberi kemudahan kepada orang awam untuk melupuskan e-waste ini secara selamat dan betapa pentingnya bahan buangan e-waste ini diuruskan dengan baik untuk menjamin kelestarian alam sekitar.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, YBrs. Encik Ramli Abd Rahman ketika dihubungi berkata ,berlaku peningkatan mendadak pungutan secara sistematik bahan buangan elektrik, elektronik di negeri ini. Rekod pungutan bahan buangan berjadual iaitu barangan elektrik dan elektronik sejak kempen pengumpulan e-waste ini bermula pada tahun 2020 sebanyak 14 tan, 2021 sebanyak 20 tan dan tahun 2022 sebanyak 34 tan.
Menurut beliau lagi, sepanjang tahun lalu, 2023 sebanyak 80 metrik tan dikumpul dan jumlah itu memperlihatkan berlakunya peningkatan yang memberangsangkan.
Katanya, kesedaran umum mengenai pembuangan bahan berjadual secara sistematik dilihat amat positif kerana barangan elektrik dan elektronik tidak boleh dilupuskan sewenangnya.
JAS telah memberi lesen kepada beberapa syarikat di negeri ini untuk menguruskan bahan buangan elektrik dan elektronik mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, iaitu Awie Metal Sdn. Bhd., KT Wan Recycle dan RD Paper Sdn. Bhd.
"Umum mengetahui bahan buangan ini perlu dikendali dengan betul kerana mengandungi bahan toksik yang berbahaya seperti plumbum, raksa, arsenik, kadmium, selenium, kromium heksavalen dan penebat api.
"Bahan-bahan ini berpotensi memberi kesan sangat serius kepada kesihatan manusia dan alam sekitar," katanya
Menurutnya, e-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW110 di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, ia membabitkan peralatan elektrik dan elektronik yang rosak, tidak digunakan atau lama dan usang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti ais, dan penyaman udara.