Penerangan
KANGAR, 28 Disember 2023 - Satu operasi bersepadu antara Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis yang dikenali sebagai Ops. Ramah telah diadakan bagi mencegah pencemaran di Negeri Perlis. Operasi tersebut terdiri daripada enam (6) pasukan masing-masing dari JAS dan APM dengan kekuatan anggota seramai 27 orang keseluruhannya.
Sebelum operasi dijalankan, JAS telah mengadakan sesi taklimat kepada APM bagi menerangkan mengenai skop tugas JAS dan bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar dalam menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya dan diikuti dengan rondaan mencegah pencemaran alam sekitar ke beberapa lokasi hotspot yang sering menerima aduan pembakaran terbuka dan pencemaran sungai di kawasan sekitar Arau, Kuala Perlis dan Padang Besar. Tiada kejadian pencemaran alam sekitar dikesan di sepanjang Ops Ramah ini dijalankan.
Dalam hal ini, Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Perlis atas kerjasama dan usaha yang sangat baik bagi membantu pihak JAS bersama-sama mencegah pencemaran alam sekitar di Negeri Perlis.
#nres
#jabatanalamsekitar
#jasperlis
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasperlis_disember2023