Penerangan
KEPALA BATAS, 20 Disember 2023- Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang bersama Jabatan Alam Sekitar Cawangan Bayan Lepas telah menjalankan operasi bersepadu iaitu Ops Gempur Bil.13/2023 pada 11, 12 dan 13 Disemberr 2023 ke atas premis-premis di Negeri Pulau Pinang khususnya premis dalam kawasan industri. Dalam operasi ini seramai tujuh pasukan dengan bilangan anggota penguatkuasa JAS seramai 21 orang terlibat secara langsung.
Operasi kali ini telah berjaya membuat pemeriksaan ke atas 16 premis. Sebanyak 14 Arahan Lapangan , Dua Notis Arahan telah dikeluarkan dan 2 kertas siasatan syor kompaun sedang disediakan kepada premis mengikut jenis kesalahan khusus melibatkan pengurusan buangan terjadual, peraturan efluen perindustrian.
Ops Gempur Disember 2023 ini adalah tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh JAS untuk meningkatkan pematuhan oleh pihak industri supaya operasi di premis mereka adalah sentiasa mengikut kehendak perundangan dan memastikan kepentingan alam sekitar diberi perhatian serius. Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan pematuhan berterusan premis industri terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.