KENYATAAN MEDIA
JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI SEMBILAN
KES ALAM SEKITAR YANG DIBAWA KE MAHKAMAH DAN TELAH SELESAI:
PENDAKWARAYA
LAWAN
BELL KSL SDN.BHD
KILANG KELAPA SAWIT BELL LINGGI SDN BHD
[NO SYKT: 199701025304 (440808-P)]
22 November 2023 – Bell-KSL Sdn.Bhd merupakan premis yang menjalankan aktiviti memproses buah kelapa sawit yang beroperasi di alamat Bell-KSL Sdn. Bhd di Lot 2680, Ladang Sua Manggis, Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan.
- Pada 9 November 2022 pada jam sekitar 9.30 pagi, sepasukan pegawai dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan telah menjalankan siasatan penguatkuasaan ke premis tersebut. Semasa pemeriksaan, terdapat pelepasan efluen dari takat pelepasan akhir sistem pengolahan efluen dan seterusnya masuk ke sungai. Sebanyak tiga (3) botol sampel telah diambil di takat pelepasan akhir kilang berkenaan. Sampel tersebut kemudiannya dihantar ke Jabatan Kimia, Melaka untuk dianalisa oleh Ahli Kimia Kerajaan.
- Keputusan analisa daripada Jabatan Kimia Malaysia, no makmal: M(AS)00331/22 bertarikh 15 Disember 2022 menunjukkan premis tersebut telah membuang efluen perindustrian melebihi had kepekatan yang ditetapkan di bawah Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu gagal mematuhi syarat lesen bagi pelepasan :
i. Kandungan
Oksigen Biokimia Yang Diperlukan (BOD3 pada 30°C) yang mempunyai kepekatan sebanyak
170 mg/L iaitu melebihi had kepekatan yang ditetapkan iaitu
100 mg/L; dan
ii. Kandungan
Pepejal Terampai yang mempunyai kepekatan sebanyak
630 mg/L melebihi had kepekatan yang ditetapkan iaitu
400 mg/L;
- Pihak premis telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu gagal mematuhi syarat lesen bagi had pelepasan BOD dan pepejal terampai dan boleh dihukum di bawah Peraturan yang sama.
- Hakim Mahkamah Sesyen 4, Seremban, Yang Arif Puan Mazni binti Nawi telah mensabitkan kesalahan yang dilakukan oleh premis tersebut telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 18,000. Hukuman maksima bagi kesalahan di bawah Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 adalah denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
- Pihak OKS yang diwakili oleh Encik Subarman bin Bahar selaku Pengurus syarikat telah membuat pengakuan bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan dan membayar denda seperti yang ditetapkan. Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Puan Zainoorliza Binti Zainal Abidin.
- JAS Negeri Sembilan akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar. Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar melalui:
- Portal e-aduan.doe.gov.my (https://[email protected])
- Call centre 1-800-88-2727
iii. Emel
[email protected]
Sekian.
JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI SEMBILAN 22 November 2023