Penerangan
CAMERON HIGHLANDS, 31 Oktober 2023 - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menganjurkan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Pahang 2023 bertempat di Dataran Tanah Rata Cameron Highlands.
Sambutan HASN Peringkat Negeri Pahang 2023 ini dirasmikan oleh YB Dato' Mohamad Nizar bin Dato' Sri Mohamad Najib, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang memangku Portfolio Alam Sekitar dan Teknologi Hijau. Turut hadir ADN Tanah Rata YB Tuan Ho Chi Yang, Pengarah JAS Negeri Pahang, Tuan Haji Wandi Yadzid bin Haji Yaakob, Wakil Pegawai Daerah Cameron Highlands, Encik Ismail bin Abu Bakar, Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Azmil Hadid bin Maznan dan Dato' Haji Baderul Sham bin Saad, Pengurus Besar TNB Negeri Pahang.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat dalam usaha ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan antaranya seperti program gotong royong Denai Sungai, Program pelepasan anak ikan, Kempen Penanaman pokok, aktiviti pengumpulan e-waste, pengumpulan minyak masak terpakai dan bahan kitar semula yang membawa konsep 'Trash to Cash', pertandingan 'Ecoquest Challenge', pertandingan mewarna, pendaftaran ahli RAS, pameran kesihatan dan pameran agensi-agensi yang lain.
Program ini juga adalah sebagai sokongan kepada Program SESAB iaitu Program Sayangi Empangan Sultan Abu Bakar yang merupakan inisiatif antara Agensi Kerajaan dan TNB dalam mengurangkan impak sedimentasi dalam tasik di Cameron Highlands.
JAS Pahang juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi-agensi di daerah Cameron Highlands iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Hutan Daerah, Polis Diraja Malaysia, Majlis Daerah Cameron Highlands, Pejabat Kesihatan Daerah, SW Corp, Jabatan Pertanian, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah dan Edsha Solutions Sdn. Bhd. atas sokongan dan kerjasama yang amat baik bagi menjayakan aktiviti yang dirancang.