Penerangan
15 SEPTEMBER 2023, KOTA TINGGI - Bertindak di atas maklumat pencemaran yang diterima, Pasukan Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor Cawangan Pengerang telah menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan ke atas kilang pengilangan logam di Kawasan Perindustrian Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.
Hasil pemeriksaan mendapati premis telah tamat tempoh lesen beroperasi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak memperbaharui lesen operasi bagi Tahun 2023. Premis juga didapati gagal untuk mematuhi kehendak di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38 (1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikenakan ke atas premis bagi menghentikan dan mengelakkan pencemaran udara kepada kawasan sekeliling.
Pihak industri diingatkan agar sentiasa mematuhi sepenuhnya kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan apa-apa pencemaran kepada alam sekeliling.