Penerangan
KANGAR,15 September 2023 - Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis (KASLIS) telah berjaya menganjurkan Seminar Pematuhan Syarat-Syarat Environmental Impact Assessment (EIA) yang berlangsung selama dua hari, iaitu bermula pada 14 hingga 15 September 2023 bertempat di JAS Perlis. Seminar ini memberi fokus berkaitan pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 khususnya keperluan pematuhan syarat-syarat EIA kepada projek-projek yang telah diluluskan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 di Negeri Perlis.
Seramai 28 orang peserta telah menyertai seminar ini yang terdiri daripada Penggerak Projek, kontraktor, Environment Officer (EO) dan Environmental Monitoring Consultant (EMC) yang terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti pembangunan projek dan pengurusan alam sekitar.
Sepanjang seminar, para peserta telah diberikan taklimat berkaitan pematuhan syarat-syarat EIA dan pengenalan kepada Sistem Pemantauan EIA (SPEIA) yang disampaikan oleh Encik Mohd Nazri bin Ramli, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penilaian Jabatan Alam Sekitar Ibu Pejabat. Sesi hands-on serta panduan penggunaan sistem SPEIA juga turut disampaikan oleh Puan Roimah binti Dollah, Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Unit Pembangunan Aplikasi, Bahagian Teknologi Maklumat JAS Ibu Pejabat.
Taklimat berkaitan larangan pembakaran terbuka turut diadakan dan disampaikan oleh Cik Nor Juliana Binti Jaafar, Penolong Pengarah, Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis bagi meningkatkan kesedaran para peserta terhadap kesalahan pembakaran terbuka di tapak projek masing-masing.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis berharap agar penganjuran seminar ini dapat meningkatkan tahap pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta syarat-syarat kelulusan EIA bagi memastikan kelestarian alam sekitar Negeri Perlis terus terpelihara untuk generasi masa kini dan akan datang.
#NRECC
#jabatanalamsekitar
#jasperlis
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasperlis_september2023