Penerangan
12 SEPTEMBER 2023, KANGAR - Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis dengan kerjasama Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar telah berjaya melaksanakan Kempen Kesedaran Ozon Sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia 2023 Bersama Pelajar Institusi Pengajian Tinggi yang telah diadakan di Institut Latihan Perindustrian Kangar, Perlis. Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis, Encik Jamal Affendy Bin Shahar dan turut dihadiri oleh Pengarah ILP Kangar, Encik Mohd. Yusri Bin Mohd. Rahim.
Seramai 120 orang pelajar dari institut pengajian tinggi yang terdiri daripada ILP Kangar, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Institut Kemahiran MARA Beseri telah menyertai program ini.
Aktiviti yang diadakan sepanjang program adalah ceramah berkaitan Kesedaran Perlindungan Lapisan Ozon oleh Ts. Dr. Sara Yasina Binti Yusuf dari Universiti Malaysia Perlis, demonstrasi penggunaan Alat Refrigerent Identifier (RI) oleh JAS Perlis, penggunaan Multi Gas Analyser dan CEREX oleh Bahagian Udara JAS Ibu Pejabat, dan lawatan ke stesen pemantauan kualiti udara automatik yang terletak di ILP Kangar. Taklimat berkaitan operasi stesen pengawasan tersebut telah disampaikan oleh pegawai dari Pakar Scieno TW Sdn. Bhd., syarikat konsesi yang dilantik untuk menjalankan program pengawasan kualiti udara.
Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan melindungi lapisan ozon di samping berkongsi maklumat berkenaan kaedah dan peralatan pemantauan kualiti udara yang digunakan oleh Jabatan ini dalam usaha untuk melindungi alam sekitar selain daripada memupuk rasa tanggungjawab bersama untuk memelihara dan melindungi lapisan ozon supaya alam sekitar sentiasa terjaga dan selamat untuk didiami.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis akan terus komited melaksanakan kempen kesedaran alam sekitar dengan kerjasama pelbagai pihak supaya alam sekitar terjaga demi memastikan kelestarian alam sekitar Negeri Perlis terus terpelihara untuk generasi masa kini dan akan datang.
#nrecc
#jabatanalamsekitar
#jasperlis
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasperlis_september2023