Penerangan
KOTA SAMARAHAN, 11 Mei 2024 - Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak, Sarawak Energy Berhad dan UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 1 dengan kerjasama pelbagai agensi/jabatan kerajaan di bahagian Kuching dan Samarahan telah menganjurkan Majlis Perasmian Sambutan Hari Bumi Tahun 2024 Peringkat Negeri Sarawak. Sambutan Hari Bumi pada tahun ini bertemakan ‘Planet vs Plastics’ bagi menangani salah satu isu sejagat masa kini iaitu pencemaran plastik serta keperluan bertindak untuk mengurangkan pencemaran plastik.
Sambutan ini adalah acara tahunan yang mempunyai pengisian aktiviti yang bertemakan alam sekitar dan pengurangan penjanaan sisa antaranya aktiviti penanaman pokok (1 RAS, 1 Pokok), Pertandingan Inovasi dan Rekacipta daripada Buangan Kitar Semula, Pertandingan Dekorasi Kek Bertemakan Keindahan Alam Sekitar, Pengumpulan e-waste dan Pameran. Ia bertujuan bagi mempromosikan pendidikan dan kesedaran alam sekitar secara meluas.
Majlis telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak pada 11 Mei 2024 di Universiti Teknologi Mara Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 1. Sambutan kali ini menjadikan pelajar IPT sebagai golongan sasaran kerana pelajar IPT merupakan generasi akan datang yang akan mencorakkan pembangunan negara dengan mengambilkira penjagaan bumi dan alam sekitar.
Program secara kolaborasi ini diharapkan dapat memberi impak yang besar kepada masyarakat dalam usaha perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar di Negeri Sarawak.