Penerangan
Tarikh: 30 April 2024
Tempat : Bilik Mesyuarat Pejabat Jabatan Alam Sekitar Alor Setar, Kedah
Unit EIA JAS Negeri Kedah telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal (EIA-TRC) untuk membincangkan Laporan EIA bagi cadangan pembangunan di kawasan pantai, bukit, dan cerun di daerah Langkawi, Kedah.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah JAS Negeri Kedah, YBrs. Puan Sharifah Zakiah binti Syed Sahab, telah dihadiri oleh panel pengulas daripada agensi teknikal seperti Jabatan Alam Sekitar Cawangan Langkawi, PLANMalaysia Kedah, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah, Syarikat Air Darulaman, dan Indah Water Konsortium.
Pemaju projek dan jururunding alam sekitar berdaftar yang dilantik telah membentangkan laporan EIA yang dicadangkan kepada semua ahli jawatankuasa yang hadir. Mereka telah menjelaskan dengan terperinci langkah-langkah yang akan diambil untuk meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar semasa dan selepas pembangunan dilaksanakan.
Pihak penggerak projek turut memberikan jaminan bahawa mereka akan mematuhi setiap ulasan dari agensi teknikal. Komitmen ini dianggap penting untuk memastikan pembangunan yang dicadangkan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa mengabaikan kepentingan alam sekitar dan komuniti tempatan.
Melalui kerjasama rapat antara semua pihak yang terlibat, diharapkan pembangunan di kawasan tersebut dapat membawa manfaat kepada semua pihak dan mewujudkan pembangunan yang mampan dan seimbang.