Penerangan
KUALA LUMPUR, 18 Mac 2024 – Pengarah Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL), Puan Zuraini Binti Ahmad Tajudin telah mempengerusikan satu Mesyuarat Environmental Impact Assessment Technical Review Committee (EIATRC) bertujuan membincangkan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA) bagi cadangan projek Penswastaan Sambungan Lebuhraya Pantai (NPE 2) yang melibatkan cadangan komponen pembangunan lebuhraya bertingkat sepanjang 6.4 km.
Mesyuarat turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan JASWPKL, Puan Shafariza binti Shamsudin dan pegawai penilai Laporan EIA, Encik Luqman bin Baharudin serta ahli-ahli EIATRC yang terdiri daripada Jabatan-Jabatan Teknikal yang dilantik.
Laporan EIA dibentangkan oleh perunding yang dilantik oleh penggerak projek merangkumi keadaan semasa tapak projek, perancangan projek, langkah-langkah kawalan yang akan disediakan, isu dan lain-lain maklumat berkaitan cadangan projek. Penggerak projek hendaklah sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 semasa peringkat cadangan pembangunan, pembinaan dan apabila projek beroperasi kelak.
Keperluan penyediaan Laporan EIA untuk kelulusan JAS adalah termaktub di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.