Penerangan
8 Februari 2024, WP Kuala Lumpur- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) buat julung kalinya menganjurkan Program Anugerah Sekolah Mampan, iaitu program yang mirip kepada Sekolah Lestari-Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) yang turut berkonsepkan pendidikan, murid, guru, warga sekolah bersama komuniti setempat.
Sebanyak 15 buah sekolah daripada 292 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menyertai program ini. Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL) juga turut terlibat sebagai panel penilai anugerah dan bertindak sebagai Ahli Jawatankuasa Penilaian di lapangan serta penyediaan garis panduan Anugerah Sekolah Mampan.
Anugerah telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Sr. Hj. Kamarulzaman Bin Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur kepada semua para penerima anugerah. Turut hadir sebagai tetamu kehormat, YBrs. Puan Zuraini binti Ahmad Tajudin, Pengarah JASWPKL, Tuan Haji Roslan bin Abu Hassan, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur dan Prof. Dr. Ahmad Fariz bin Mohamed, dari UKM Lestari.
Penerima Anugerah Sekolah Mampan Kuala Lumpur akan dicalonkan mewakili Peringkat Negeri WP Kuala Lumpur ke Program Anugerah Sekolah Lestari-Anugerah Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan bagi kitar kesembilan.