Penerangan
NIBONG TEBAL, 14 DISEMBER: Pengarah JAS Pulau Pinang, En Norazizi bin Adinan hadir sama dalam Majlis Perasmian Program Pemuliharaan Habitat Hutan Paya Penang 2030, PSI Ecology Offset Masterplan (PEOM) yang diadakan di Jeti Nelayan Changkat, Pulau Pinang.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keselamatan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, YB Fahmi Zainol, Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Datuk Seri Farizan Darus dan Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Encik Muhammad Ezhar Yusuf.
Kira -kira 20,000 daripada 200,000 anak pokok bakau berjaya ditanam di beberapa lokasi terpilih di negeri ini di bawah Pelan Induk Pengimbangan Ekologi Penang South Island (PEOM) termasuklah di Hutan Simpan Byram di sini hari ini.
Kerja-kerja penanaman itu bermula sejak pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Perhutanan Pulau Pinang dengan dua syarikat iaitu Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) dan Silicon Island Development Sdn. Bhd. (SID), awal tahun ini.
Program ini adalah bertepatan dengan keperluan syarat EIA yang mengkehendaki pemaju menyediakan program offset dan pemantauan ekologi hidupan marin dalam memastikan kelestarian alam sekitar sentiasa terpelihara dalam memacu pembangunan di negeri ini.
Kawasan hutan paya laut ini selain berperanan sebagai benteng pesisir semula jadi yang mampu menahan hakisan ombak dan habitat untuk hidupan laut, kawasan hutan ini akan diwujudkan sebagai satu kawasan rekreasi awam yang menarik untuk dinikmati rakyat serta pelancong pada masa hadapan