Penerangan
12 Ogos 2024, Kota Bharu - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kelantan dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan JAS Negeri Kelantan (KASKEL) telah menganjurkan satu seminar berkaitan Pematuhan Perundangan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan 2024) dan Syarat-syarat Lesen Bagi Premis Yang Ditetapkan (PYDT). Seminar ini berlangsung di Ibis Styles Hotel, Kota Bharu, dan telah dihadiri oleh seramai 45 orang peserta dari pelbagai premis PYDT.
Objektif seminar adalah untuk membina hubungan kerjasama antara Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan dengan pihak pengurusan kilang dalam meningkatkan lagi pemahaman dan pematuhan terhadap perundangan serta syarat-syarat lesen yang diberikan.
Para pembentang bagi seminar ini adalah terdiri daripada Encik Mohamad Zamzani bin Ibrahim, Ketua Bahagian Pembangunan, JAS Negeri Kelantan dan Encik Zaharizam bin Johny, Ketua Cawangan, JAS Cawangan Gua Musang. Encik Mohamad Zamzani bin Ibrahim membentangkan mengenai Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan 2024). Beliau menekankan kepentingan pematuhan terhadap perundangan ini bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang serta untuk memastikan kelestarian alam sekitar. Manakala Encik Zaharizam bin Johny pula memberikan penerangan mengenai syarat-syarat lesen bagi premis yang ditetapkan (PYDT). Beliau menekankan prosedur yang perlu diikuti oleh premis PYDT untuk mengekalkan lesen operasi mereka serta pentingnya melaporkan sebarang pelanggaran kepada JAS.
Seminar ini berjaya mencapai objektif utamanya iaitu meningkatkan pemahaman dan kesedaran peserta mengenai pematuhan perundangan alam sekitar. Hubungan kerjasama antara JAS Negeri Kelantan dan pihak pengurusan premis juga diperkukuhkan, yang dijangka akan membawa kepada peningkatan pematuhan terhadap syarat-syarat lesen yang diberikan.