Penerangan
9 April 2023, RANTAU PANJANG – Kempen pengumpulan dan pelupusan barangan elektrik & elektronik terpakai (e-waste) sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar di seluruh negara. Barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak dan tidak boleh digunakan lagi merupakan barangan yang dikategorikan sebagai Buangan Terjadual dengan kod SW 110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sebagai menjayakan usaha tersebut, Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan telah mengadakan Kempen Pengumpulan e-waste dan Minyak Masak Terpakai yang bertempat di Masjid Jamek Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang. Kempen tersebut telah berjaya mengumpulkan lebih dari 700 kilogram e-waste daripada masyarakat setempat dan juga kerjasama daripada pihak swasta.
Selain dari pengumpulan barangan buangan e-waste, pengumpulan minyak masak terpakai juga turut dilaksanakan bagi tujuan yang sama demi menjaga alam sekitar agar tidak tercemar oleh sisa-sisa minyak masak yang dibuang secara tidak terkawal.
Buangan e-waste ini hendaklah dilupuskan di premis yang telah dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Terdapat premis-premis yang telah dilesenkan untuk menguruskan buangan e-waste di setiap negeri mengikut kaedah-kaedah pelupusan yang sepatutnya. Enam barangan yang diberikan tumpuan iaitu peti ais, mesin basuh, televisyen, penghawa dingin, komputer/laptop dan telefon bimbit selain barangan lain yang dikatagorikan sebagai e-waste.