Penerangan
30 Ogos 2023 (Rabu), Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang bersama Jabatan Alam Sekitar Cawangan Bayan Lepas telah menjalankan operasi bersepadu iaitu Ops Gempur Bil.9/ 2023 pada 23 dan 24 Ogos 2023 ke atas premis-premis di Negeri Pulau Pinang khususnya premis dalam kawasan industri. Dalam operasi ini seramai tujuh pasukan dengan bilangan anggota penguatkuasa JAS seramai 21 orang terlibat secara langsung. Turut serta agensi secara berasingan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Operasi kali ini telah berjaya membuat pemeriksaan ke atas 13 premis. Sebanyak 13 Arahan Lapangan , empat Notis Arahan telah dikeluarkan dan 2 kertas siasatan syor kompaun sedang disediakan kepada premis mengikut jenis kesalahan khusus melibatkan pengurusan buangan terjadual dan peraturan udara bersih. Manakala terdapat dua penahanan operasi kelengkapan (POK) terhadap kelengkapan premis dan satu kertas siasatan tindakan mahkamah sedang disediakan melibatkan pengoperasian premis yang ditetapkan tanpa lesen. Ops Gempur Ogos 2023 ini adalah tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh JAS untuk meningkatkan pematuhan oleh pihak industri supaya operasi di premis mereka adalah sentiasa mengikut kehendak perundangan dan memastikan kepentingan alam sekitar diberi perhatian serius. Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan pematuhan berterusan premis industri terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.