Penerangan
28 Ogos 2023, Shah Alam – Bahagian Bahan Berbahaya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama perunding Aurecon Lestari Sdn. Bhd. telah mengadakan satu bengkel libat urus bersama agensi teknikal dan industri bagi Kajian Kebolehlaksanaan Circular Economy Bagi Pengurusan Buangan Terjadual Di Malaysia yang merupakan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Bengkel libat urus ini yang dihadiri oleh tiga belas (13) agensi teknikal dan lebih kurang tujuh puluh (70) wakil industri diadakan bagi membentangkan cadangan polisi, framework dan cost benefit analysis bagi pelaksanaan circular economy buangan terjadual serta kaedah-kaedah penggunaan semula dan pemerolehan kembali (circular economy) buangan terjadual dalam sektor industri, sektor pembinaan, sektor pertanian dan perladangan.
Bengkel ini turut melibatkan perkongsian wakil-wakil industri yang telah melaksanakan circular economy buangan terjadual iaitu Puan Noor Suhailah Othman daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tuan Morris Andom daripada Pertama Ferroalloys Sdn. Bhd., Tuan Haji Mohd Salleh Amri Bin Zahid@Mamat daripada Venator Asia Sdn. Bhd. dan Puan Clarisse Loh daripada Geo Alam Environmental Sdn. Bhd.