Penerangan
26 JULAI 2023, MELAKA - Jabatan Alam Sekitar Melaka telah menjalankan Operasi Gempur ke atas sebuah premis pengolahan buangan terjadual di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka. Seramai 4 orang pegawai Jabatan Alam Sekitar terlibat di dalam operasi ini. Hasil siasatan mendapati pihak premis tidak patuh kepada Peraturan–Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014. JAS Melaka akan mengambil tindakan lanjut ketidakpatuhan tersebut.
Pihak premis diingatkan agar sentiasa mematuhi sepenuhnya kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan apa-apa pencemaran kepada alam sekitar.
Untuk makluman, Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), premis yang ditetapkan (PYDT) adalah ditakrifkan sebagai premis yang dilesenkan sebagaimana ditetapkan di bawah Seksyen 18, Akta 127. Premis yang ditetapkan tersebut merangkumi kilang getah asli mentah, kilang kelapa sawit mentah dan kilang atau kemudahan pengolahan dan pelupusan buangan terjadual seperti dinyatakan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Premis Yang Ditetapkan)(Getah Asli Mentah) 1978, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Premis Yang Ditetapkan)(Kelapa Sawit Mentah) 1977 dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Premis Yang Ditetapkan)(Kemudahan Pengolahan dan Pelupusan Buangan Terjadual) 1989. Operasi premis-premis ini adalah tertakluk kepada keperluan Seksyen 18, Akta 127 di mana pemilik premis ini perlu mempunyai lesen daripada Jabatan Alam Sekitar bagi menduduki dan / atau menggunakan premis.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Melaka komited untuk menangani aduan awam dan menyeru orang awam dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan pematuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 supaya kelestrian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
#KementerianSumberAsliAlamSekitarDanPerubahanIklim
#JabatanAlamSekitar
#jasnegerimelaka
#AlamSekitarTanggungjawabBersama