Penerangan
3 JUN 2023, KANGAR - Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis telah turut serta menghadiri Majlis Perasmian Program ‘Perlis Green Hour’ Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2023. Sambutan ini juga diadakan bersempena Ulang Tahun Ke-80 Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Dewan Serbaguna Bukit Ayer, Kompleks Eko- Pelancongan Sungai Batu Pahat, Perlis. Majlis turut dihadiri oleh YB Tuan Rus’sele bin Eizan, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, YB Tuan Mohd Radhi bin Abbas, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, YBhg Dato’ Mohd Rahim Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Teknikal) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), barisan Ahli Parlimen Negeri Perlis, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, serta ketua-ketua jabatan dan wakil.
Program ‘Perlis Green Hour’ ini turut mendapat pengiktirafan oleh ‘Malaysia Book of Record’ atas pencapaian ‘Largest Simultaneous Tree Planting’ Jabatan Perhutanan Negeri Perlis. Program ini turut diadakan penanaman pokok secara serentak selama 1 jam di seluruh negeri Perlis bermula pada jam 9.00 pagi - 10.00 pagi yang dapat disaksikan bersama secara ‘Live Streaming’ di dewan perasmian seiring dengan saranan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Aktiviti penanaman pokok oleh Jabatan Alam Sekitar turut diadakan di lokasi yang telah dikhaskan oleh Jabatan Perhutanan iaitu di Kawasan Wang Mu bersama-sama Nadisihat Perlis. Sebanyak 250 pokok telah berjaya ditanam.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di atas undangan tersebut dan semoga kerjasama yang terjalin akan berterusan demi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara untuk generasi akan datang.
#nrecc
#jabatanalamsekitar
#jasperlis
#alamsekitartanggungjawabbersama
#jasperlis_jun2023